Wednesday, December 7, 2011

kesan Rang Undang-Undang Perbadanan Kg.Baru: Terhapusnya Warisan Melayu Terakhir

 Kerakusan Kerajaan BN sehingga sanggup meluluskan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (RUU PPKB 2011) malam tadi amat dikesali bukan sahaja oleh para pemilik tanah di kampung itu, tetapi juga di seluruh negara.
Tindakan tersebut jelas menunjukkan sikap rakus kerajaan dan pihak-pihak yang berselindung di sebaliknya untuk mengaut kekayaan melimpah-ruah hasil daripada 'pembangunan' Kampung Baru nanti.
Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampong Baru (SPKB), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, pihaknya amat kesal dengan sikap gelojoh dan tergesa-gesa kerajaan yang meluluskan Akta RUU PPKB 2011 malam tadi, tanpa memberi masa dan peluang langsung kepada pemilik dan pewaris tanah kampung itu untuk melihat sendiri kandungan akta tersebut.
Menurut beliau, Isnin lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar melalui menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah menarik balik RUU PPKB 2010, tetapi kemudiannya membentangkan pula rang undang-undang baru, RUU PPKB 2011dengan beberapa pindaan.
Katanya, belum pun sempat pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru berpeluang memegang, meneliti dan berbincang berkenaan undang-undang yang bakal menentukan masa depan mereka itu, Kerajaan telahpun secara tergesa-gesa sehingga lewat malam tadi meluluskan RUU PPKB 2011 di Parlimen.
"Apakah yang hendak dikejar sangat sehingga tidak ada ruang langsung untuk RUU PPKB 2011 tersebut dibincang dan diluluskan oleh orang-orang Kampung Baru sendiri terlebih dahulu, sedangkan merekalah pihak yang terlibat secara langsung dengan apa saja bentuk pembangunan yang hendak dicadangkan.
"Mereka adalah pemilik dan pewaris asal tanah Kampong Bharu sejak 111 tahun lalu dan kini segala pandangan dan hak mereka ke atas tanah mereka sendiri telah dirampas dalam masa hanya beberapa jam sahaja," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.
Kerajaan, menurut beliau, menggunakan mekanisme undang-undang dan Parlimen dijadikan “rubber stamp” untuk menafikan segala hak pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu yang merupakan satu-satunya warisan tanah orang Melayu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Katanya, SPKB turut mempersoalkan penglibatan empat badan berkaitan kerajaan (GLC) yang diumumkan menteri terbabit malam tadi yang terdiri daripada Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Putrajaya Holding dan Permodalan Hartanah Berhad yang dikatakan akan terlibat dalam pembangunan Kampong Bharu.
SPKB menegaskan bahawa penglibatan badan-badan itu tidak pernah langsung dibincang dan didedahkan kepada masyarakat Kampong Bharu, malah pemilik dan pewaris tanah sehingga sekarang masih lagi ragu dan sangsi tentang kaedah dan bentuk pembangunan yang hendak dijalankan.
Katanya, bagaimanakah ia hendak dimulakan dan adakah ia akan melibatkan perpindahan penduduk ke tempat lain sepanjang proses pembangunan itu dijalankan?
"Apakah status hak milik tanah mereka akan berubah dan adakah hartanah Kampong Bharu ini akan terbuka untuk diurusniagakan kepada semua orang?
"Apakah jaminan hak milik tanah akan kekal di tangan mereka dan mengapakah menteri mempunyai kuasa penuh dan mutlak ke atas tanah Kampong Bharu?" katanya.
Semua perkara itu, menurutnya, masih tidak dijelaskan kepada pemilik dan pewaris tanah dan secara tiba-tiba, kerajaan telahpun meluluskan RUU PPKB 2011 malam tadi dan meninggalkan tanda-tanya serta kemarahan kepada sebilangan besar masyarakat Kampong Bharu.
SPKB menegaskan bahawa pihaknya tidak menolak sebarang bentuk pembangunan di Kampong Bharu, tetapi biarlah ia dibuat secara tertib, beradab dan menghormati pandangan dan cadangan pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu.
"Merekalah tuan yang sebenarnya di Kampong Bharu ini, bukannya menteri, orang-orang politik atau badan-badan korporat," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment