Showing posts with label NFC. Show all posts
Showing posts with label NFC. Show all posts

Wednesday, December 7, 2011

Skandal NFC: Usahawan Yang Mengemukakan Idea Tidak Dipanggil Semasa Proses Bidaan

Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan pimpinan Barisan Nasional termasuklah YAB Perdana Menteri, YAB Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahawa penganugerahan Projek Fidlot Kebangsaan kepada syarikat milik keluarga menteri terbabit dibuat mengikut prosedur bidaan dan tender yang betul.
Saya juga merujuk kepada kenyataan YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa kelulusan pinjaman RM250 juta dan penganugerahan projek tidak dibuat di Kabinet, sebaliknya di peringkat JK Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri sendiri.
Mengambil kira keangkuhan pimpinan Umno terutamanya Ketua Wanita, Dato’ Seri Shahrizat Jalil yang sedikit pun tidak mahu memahami kemarahan rakyat mengenai isu ini, KEADILAN pada hari ini mendedahkan bahawa:
1. Idea asal untuk mewujudkan sebuah industri daging dan penternakan komersil telah dibawa seawal tahun 2003 oleh sebuah syarikat usahawan muda Bumiputra.
2. Cadangan asal yang dibincangkan di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, MARDI dan Kerajaan Negeri Sembilan langsung tidak membabitkan suntikan dana atau pinjaman dari kerajaan. Syarikat terbabit hanya memohon persetujuan Kerajaan Negeri untuk menyewa tapak ladang penternakan di Gemas.
3. Syarikat terbabit juga telah berjaya mendapat khidmat nasihat dan kerjasama dari Professor Jerry J Reeves, seorang pakar teknologi penternakan dari Washington State University (lihat Lampiran 1).
4. Ladang ternakan tersebut bakal menggunakan teknologi terkini untuk membangunkan baka terbaik tempatan melalui proses artificial insemination menggunakan mani dan embrio baka lembu wagyu. Proses sebegini dijangkakan adalah lebih mudah dan murah untuk membangunkan ladang satelit dan membantu penternak kecil, berbanding dengan kaedah mengimport lembu untuk digemukkan di fidlot seperti yang dibuat NFC.
5. Syarikat terbabit telah mengadakan perbincangan lanjut dengan MARDI dan hampir menandatangani MOU (lihat Lampiran 2 dan Lampiran 3).
6. Cadangan ini juga telah dibawa ke peringkat tertinggi di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kerajaan Negeri Sembilan (lihat Lampiran 4 dan Lampiran 5).
Malangnya, cadangan dan usaha anak muda usahawan Bumiputra ini akhirnya terbantut di situ sahaja setelah mereka membelanjakan hampir RM300,000 membuat persediaan.
Semasa mempertimbangkan syarikat-syarikat yang berkelayakan dan berpotensi untuk menerajui Projek Fidlot Kebangsaan, anak muda ini yang telah menghabiskan bertahun-tahun masa dan wang simpanannya untuk mengejar cita-cita beliau, tidak pula dipanggil untuk turut serta dalam proses tender.
Oleh sebab itu, KEADILAN bertegas bahawa proses anugerah projek ini kepada NFC milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil adalah tidak telus dan menyeleweng, kerana salah satu syarikat yang paling awal mencadangkan projek ini langsung tidak dipanggil untuk turut serta. Ini telah menjadi penyakit di dalam Umno bila mana idea dan keringat orang lain dicuri untuk menyelewengkan wang rakyat.
Oleh itu, KEADILAN mendesak Perdana Menteri bertanggungjawab dengan keputusan yang dibuat oleh JK Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan beliau kerana keputusan itu penuh dengan unsur penyelewengan dan menindas usahawan-usahawan muda yang bertungkus-lumus berusaha.
YB SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGONG KEADILAN
AHLI PARLIMEN MACHANG

Skandal NFC: Dana NFC Digunakan Beli Mercedes Mewah, Tanah Di Putrajaya, Membiayai Percutian Mewah Dan Dipindahkan Ke Singapura

Memandangkan Ketua Wanita Umno langsung tidak menunjukkan tanda-tanda beliau insaf setelah KEADILAN membuat pelbagai pendedahan mengenai penyelewengan dana NFC, saya terpanggil untuk terus menyenaraikan perbelanjaan-perbelanjaan boros bersifat peribadi yang dibuat keluarga beliau:
  1. Pada 9 Disember 2009, keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil menggunakan wang dari pinjaman mudah RM250 juta untuk membeli sebuah kereta mewah Mercedes Benz CLS 350 CGI berharga RM534,622.
  1. Dana sebanyak RM3,363,507 telah disalurkan melalui NMLC untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya iaitu PT1886 dan PT1887, Presint 10, Putrajaya. Kebarangkalian tanah-tanah ini dibeli untuk membuka ladang ternakan lembu di Putrajaya adalah tipis.
  1. Semakan bayaran-bayaran yang dibuat melalui cek dari akaun 141640000066107 CIMB Islamic Bank Berhad di bawah nama NFC menunjukkan bayaran yang besar dan berulang kali dibuat kepada Impian Global Network Services (IGNS). Siasatan KEADILAN menunjukkan IGNS adalah sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan pakej percutian di Phuket, Kuching, Banding, Singapura dan Bali (sila lawati laman http://impianglobalnetworkservices.blogspot.com/ , petikan skrin laman tersebut disertakan di Lampiran 1).
Antara bulan Januari hingga Julai 2010, 15 cek berjumlah RM455,423 dikeluarkan kepada IGNS (butiran seperti di bawah). Ini menimbulkan tanda tanya bagaimanakah sebuah syarikat yang sepatutnya menguruskan ladang ternakan lembu menjadikan perbelanjaan pakej percutian sebagai perbelanjaan bulanan? Apakah ia telah disalahgunakan untuk membiayai percutian ahli keluarga menteri dan rakan-rakan mereka?
TARIKHNO CEKJUMLAH (RM)
8 Jan 20100013761,524
13 Jan 20100014061,709
26 Jan 201000146528,476
24 Feb 201000154012,743
24 Feb 20100015433,076
9 Mac 201000158722,400
9 Mac 201000159026,572
9 Mac 20100015925,776
31 Mac 201000167145,428
22 April 201000173527,853
13 Mei 201000178945,235
25 Mei 20100018253,196
18 Jun 2010001848120,521
16 Julai 201000192289,800
16 Julai 201000192321,114
JUMLAH455,423
  1. Pada 21 Julai 2010, NFC memindahkan sejumlah RM588,585 ke akaun milik Meatworks (Singapore) Pte Ltd milik keluarga menteri. Tindakan ini bertentangan dengan fungsi NFC tatkala Ketua Pemuda Umno mendakwa bahawa NFC tidak mempunyai sebarang urusniaga dengan Singapura kerana daging mentah Malaysia tidak boleh dieksport ke Singapura. Jika itu keadaannya, kenapa sejumlah besar wang dipindahkan ke Singapura?
Dato’ Seri Shahrizat Jalil hanya ada dua pilihan – sama ada menjelaskan satu persatu perbelanjaan-perbelanjaan ini di Perhimpunan Agong Umno dalam masa terdekat, atau terus mengheret Umno dan Barisan Nasional ke dalam kancah skandal peribadi beliau.
KEADILAN akan mengaturkan beberapa siri laporan polis serentak di seluruh negara untuk mendesak pihak berkuasa segera menyiasat penyelewengan dalam pendedahan terbaru ini.
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN