Showing posts with label video lucah. Show all posts
Showing posts with label video lucah. Show all posts

Wednesday, June 8, 2011

Avatar Video Seks

OLEH HASMI BIN HASHIM
“If they can make Avatar, they can make every thing”. ~ Dr Mahathir Mohamad.
Kata-kata itu tak kosong. Ia adalah sebuah keyakinan hati mantan perdana menteri ke-4. Samalah ketika ditanya apa yang beliau mahu selepas melepas jawatan Perdana Menteri, dengan nada seloroh dan jenaka katanya, “saya nak jadi Agong, mereka tak kasi”.
Dari kaca mata politik-kekuasaan, itu bukan jenaka—walaupun nadanya terdengar seperti mudah dan seloroh. Maka, “Avatar” yang dimaksudkan Dr Mahathir seolah-olah apa sahaja gambaran dapat dibuat—termasuk, tentu sahaja, video seks yang pelakonnya menyamai wajah sesiapa sahaja. Termasuk wajah Anwar Ibrahim.
Anwar tetap musuh nombor satu beliau. Sekali Dr Mahathir pernah coba menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri; tak ada alasan untuk beliau dengan mudah melepaskan Anwar pada mana-mana waktu. Meskipun selepas beliau berundur daripada jawatan PM, ia bukan sebab untuk tidak terus menyerang Anwar.
Kemarahan terbesar Mahathir kepada Abdullah Badawi, dalam pengamatan saya, bukanlah kerana Barisan Nasional (BN) hilang banyak kerusi di dalam Pilihanraya Umum ke-12. Di bawah kritikan mendesak Abdullah berundur, tentulah kerana Abdullah dilihat ‘membebaskan’ Anwar.
Apabila Anwar bebas, maka oposisi terpandu untuk kembali mengejar jejak ke Putrajaya. Inilah yang paling ditakuti Dr Mahathir. Beliau tanpa sedar atau tidak, pernah mengakui akan lari dan tinggal di luar negara kalau Anwar berjaya menjadi perdana menteri.
Ternyata, walaupun selepas Dr Mahathir berundur daripada jawatan PM, kerja politik beliau tidak terhentikan. Beliau masih coba aktif mengatur itu-ini. Orang-orangnya masih ramai. Kepentingan dan sumber ekonomi yang mahu beliau pertahan, tetap sahaja banyak. Sementara di dalam diam-diam, timbul nama Shazryl Eskay Abdullah—seorang yang pernah mempunyai kepentingan langsung terhadap projek Jambatan Bengkok.
Apakah kita lupa bagaimana projek Jambatan Bengkok adalah antara projek emas Dr Mahathir. Di sinilah hubungan antara Dr Mahathir-dengan-Eskay yang tak dapat disembunyikan. Watak-watak lain di dalam drama pendedahan video seks yang didedahkan Eskay juga punya hubungan terus dengan Dr Mahathir. Terutamanya Rahim Tamby Chik, mantan Ketua Menteri Melaka.
Rahim, malah di dalam satu kenyataannya menyebutkan bagaimana beliau percaya karier politiknya dahulu pernah dibinasakan oleh Anwar yang ketika itu adalah Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri. Rahim sendiri mengakui beliau bertanya kepada Dr Mahathir, apakah Dr Mahathir yang menyebabkan kes “rogol budak bawah umur” dibawa ke mahkamah? Khabarnya Dr Mahathir menafikan. Lalu menuduh ia disebabkan Anwar. Rahim konon-kononnya percaya sehingga ramai sekali orang percaya hal itu, langkah Rahim kali ini tak lebih hanya untuk membalas dendam terhadap Anwar.
Di dalam riuh-riuh kes video seks, terdengar pula nama Shuib Lazim. Beliau adalah orang kuat Perkasa. Jawatannya penting iaitu sebagai Bendahari Agung. Maka dengan mudah kita bisa faham bagaimana Perkasa tak lain adalah sebuah “kenderaan politik” Dr Mahathir. Tak hairan juga bagaimana Perkasa jadi antara pehak yang paling banyak membuat komen terhadap video seks berkenaan melalui presidennya, Ibrahim Ali.
Begini, konspirasi tetap konspirasi. Hal “perut boroi” jadi kantoi sehingga menimbulkan pertanyaan meluas apakah benar pelaku di dalam video berkenaan adalah tulen Anwar? Polis melalui Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar hanya berani menyebutkan bahawa video itu tulen, tetapi tak berani menyatakan bahawa Anwar-lah pelaku di dalam video yang kemudiannya tersebar meluas di Youtube.
Alasannya ialah tak ada keperluan undang-undang untuk mendedahkan lelaki pelakunya—sedangkan beliau terlupa, apakah ada peruntukan undang-undang untuk menyatakan video itu tulen atau tidak?
Keadaan ini hanya menimbulkan satu lagi keraguan. Melihat pengalaman dua kali fitnah yang dilempar ke atas Anwar, pehak polis sebelum ini begitu tangkas untuk bertindak—meskipun banyak tindakan polis bukan sesuatu yang mengikut lunas undang-undang.
Sebagai contoh, serbuan segera yang dibuat di rumah Anwar pada malam 20 September 1998; apakah sepenuhnya mengikut undang-undang? Begitu juga tangkapan kali kedua terhadap Anwar di hadapan simpang rumah beliau di Bukit Segambut—selepas Saiful Bukhari membuat aduan konon beliau diliwat—juga sangat jauh daripada mengikut undang-undang.
Lantaran itu, ‘kelembapan’ polis bertindak kali ini menunjukkan bagaimana sesungguhnya Polis juga tahu apakah pelaku di dalam video berkenaan bernar-benar Anwar atau tidak. Arakian langkah tidak mengumumkan pelakunya hanya meninggalkan persepsi negatif di dalam fikiran masyarakat (khususnya orang Melayu) terhadap Anwar.
Dalam kata mudah, orang Melayu khususnya di luar bandar yang susah mendapat maklumat barangkali telah menyakini bahawa pelaku seks itu adalah Anwar. Sebab itu kes ini adalah kes politik. Sebab itu tindakan pehak polis, khususnya Khalid sendiri boleh ditafsir juga sebagai “langkah politik” yang telah memenangkan sang konspirator dan pemerintah Umno-BN.
Gelanggang politik Malaysia bukanlah sebuah gelanggang yang terlalu besar dengan para pemain utama terlalu ramai. Balik-balik orang itu, orang itu jugalah. Lantas, adalah sesuatu yang sangat mustahil apabila seorang perdana menteri, seperti Najib Razak tidak mengetahui lebih awal mengenai sebuah rakaman video seks yang dikatakan melibatkan musuh politik nombor satu beliau sendiri.
Ya, seperti kata Dr Mahathir, “kalau Amerika boleh buat [filem] Avatar,” apa sahaja boleh dibuat secara visual dan filem. Untuk membentuk wajah Anwar sedang melakukan hubungan dengan seorang wanita (dikatakan pelacur) Cina, bukanlah terlalu sukar. Belanjanya juga bukanlah terlalu mahal, dan tak perlu dibuat sampai ke Hollywood.
Saya tak fikir Najib tak tahu semua ini—tapi untuk mudah-mudah lepas tangan kononnya beliau ‘bersih’ tak terlibat, dan kononnya Umno juga tak ada kena -mengena di dalam komplot kali ini adalah satu kenyataan hipokrit. Lebih-lebih lagi, hari pertama video itu mahu ditayang; ia ditayangkan kepada editor-editor kanan media perdana—orang yang tentu sahaja mempunyai hubungan terus dengan HP dan emel Najib.
Sejak era Dr Mahathir sebagai PM, Najib bukanlah seorang menteri yang bersarang idea yang lebih hebat daripada Dr Mahathir. Najib selalunya menurut sahaja apa kehendak Dr Mahathir. Lalu, tidak mustahil untuk Najib sekali ini memberi restu kepada sebuah rakaman video fitnah yang sudah siap dibuat untuk dipublikkan seraya apa yang beliau perlu katakan cukup mudah, iaitu “Umno tak terlibat”.
Namun kata-kata sedemikian tidak semestinya dapat membersihkan Umno daripada dosa yang maha besar. Dalam arti kata lain, kerosakan selepas lebih sedekad, dengan konspirasi demi konspirasi menjadikan orang Melayu dalam tak sedar telah belajar berbohong. Melihat pembohongan sebagai sesuatu yang seakan-akan diizinkan demi mencapai matlamat apapun. Termasuklah matlamat politik.
Media milik Umno, khususnya Utusan Malaysia juga dilihat tidak memainkan isu ini cukup kuat. Andailah memang pelakunya Anwar, kita yakin Utusan akan mencetak foto petikan video berkenaan saban hari di muka surat depan, di samping tak perlu bersusah payah mengalih isu kepada isu sumpah.
Belum pernah di dalam kehidupan budaya orang Melayu, sebegini bobrok dan hodohnya digambarkan wajah tamadun bangsa Melayu. Inilah dosa besar dua pimpinan Umno, iaitu Dr Mahathir dan Najib di mana mereka boleh dikatakan sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa.
Itu mereka punya pasal. Orang Melayu sendiri sesungguhnya harus menolak amalan politik ala Mahathir-Najib ini. Kita tidak boleh lagi mendiamkan diri dan menerima fitnah sebagai satu amalan biasa politik. Memang tak ada lagi alasan untuk menerima Umno yang ternyata telah merosakkan akal-budi bangsa sampai ke tahap ini.
Menolak Umno buat sekali ini berarti menyelamatkan bukan sahaja negeri, malah menyelamatkan bangsa daripada terus binasa; tenggelam dengan fitnah—sepertimana sebelum ini Tuhan menghancurkan bangsa-bangsa yang menjadi fitnah sebagai sebahagian daripada makanan harian mereka.
Saya percaya, Melayu tidaklah selemah itu.

Thursday, April 28, 2011

Sumpah: Penjelasan PGSM berhubung mubahalah

 Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyatakan bahawa sumpah di dalam Islam memadai dengan melafazkan lafaz sumpah dengan nama Allah iaitu Wallahi, Wabillahi dan Watallahi serta tidak perlu memegang atau mengangkat al-Quran. 
Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip berkata, ini adalah kerana perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya tersebut adalah budaya orang Kristian bersumpah dan mereka bersumpah memegang bible.
Jelasnya, mubahalah memerlukan kehadiran kedua-dua pihak yang bertentangan berada  di dalam satu majlis.
Katanya, seorang individu akan melafazkan sumpah dengan nama Allah dan menyatakan bahawa beliau akan dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat sekiranya dia tidak bercakap benar.
”Sumpah ini kemudiannya akan diikuti oleh satu pihak yang satu lagi yang akan bersumpah dengan nama Allah dan sekiranya beliau tidak berkata benar maka laknat Allat akan turun padanya di dunia dan di akhirat. ”Dengan kata lain dengan sumpah ini, kedua-dua pihak akan saling sumpah menyumpah dan cabar mencabar supaya diturunkan laknat kepada sesiapa yang berbohong,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berikut adalah penjelasan beliau.
Persatuan Peguam Syarie Malaysia menyatakan bahawa sumpah di dalam Islam memadai dengan melafazkan lafaz sumpah dengan nama Allah iaitu Wallahi, Wabillahi dan Watallahi serta tidak perlu memegang atau mengangkat al-Quran.
Ini adalah kerana perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya tersebut adalah budaya orang Kristian bersumpah dan mereka bersumpah memegang bible. Mubahalah memerlukan kehadiran kedua-dua pihak yang bertentangan berada  di dalam satu majlis.
Seorang individu akan melafazkan sumpah dengan nama Allah dan menyatakan bahawa beliau akan dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat sekiranya dia tidak bercakap benar. Sumpah ini kemudiannya akan diikuti oleh satu pihak yang satu lagi yang akan bersumpah dengan nama Allah dan sekiranya beliau tidak berkata benar maka laknat Allat akan turun padanya di dunia dan di akhirat.
Dengan kata lain dengan sumpah ini, kedua-dua pihak akan saling sumpah menyumpah dan cabar mencabar supaya diturunkan laknat kepada sesiapa yang berbohong.
Di dalam Islam sumpah seperti ini dibenarkan bagi tujuan untuk membersihkan diri seseorang itu daripada sesuatu tuduhan (tohmah) dan sumpah tersebut dipanggil sumpah tohmah. Sumpah ini sangat besar kesannya kerana dibuat atas nama Allah dan laknat Allah akan menimpa pembuat sumpah tersebut di dunia dan akhirat.   Walaubagaimanapun sumpah seperti ini adalah bertujuan semata-mata bagi membersihkan nama seseorang dari sebarang tohmah dan ianya bukan suatu kaedah untuk menuduh orang lain atau mensabitkan seseorang itu bersalah.
Ini adalah kerana di dalam Islam serta perundangan negara kita ada kaedah serta undang-undang yang telah digariskan bagi mendakwa seseorang itu melakukan sesuatu kesalahan. Di dalam undang-undang Jenayah Syariah, kaedah yang ditetapkan bagi menyatakan seseorang yang dituduh itu melakukan sesuatu kesalahan adalah dengan pihak pendakwa atau orang yang membuat tuduhan mengemukakan bukti ke Mahkamah. Oleh itu,  beban untuk membuktikan suatu dakwaan itu adalah terletak kepada orang yang mengemukakan dakwaan, dan mengkehendaki Mahkamah percaya akan kewujudan perkara di dalam dakwaan tersebut.  Ini selaras dengan peruntukan seksyen 73 (1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan – ”Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan fakta itu wujud.”
Selanjutnya Akta yang sama menyatakan cara memberikan keterangan di dalam kes-kes jenayah syariah, keterangan hendaklah diberikan oleh pendakwa dan tertuduh, melainkan jika tertuduh mengaku salah. Seksyen 87 (3) Akta Keterangan memperuntukkan bahawa – ”Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah.”
Oleh yang demikian, sesuatu dakwaan terhadap sesuatu kes itu hendaklah dibuktikan ke Mahkamah melalui proses pendakwaan oleh pihak yang mendakwa. Adalah menjadi beban kepada pihak yang mendakwa untuk membuktikan segala dakwaan atau tuduhan di Mahkamah. Sesuatu dakwaan atau pertuduhan tersebut hendaklah dibuat di Mahkamah dan bukannya di tempat-tempat awam atau di Masjid. Ini adalah kerana masjid adalah tempat yang suci untuk umat Islam beribadat dan bukannya menjadi tempat atau gelanggang bagi menyatakan kebenarannya sesuatu dakwaannya itu adalah benar.
Orang mendakwa perlu mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya samada bukti tersebut adalah berbentuk saksi yang memberikan keterangan atau dokumen sebagai contoh laporan perubatan. Ini adalah penting bagi menyokong dakwaannya dan bukannya hanya bersumpah. Di dalam prinsip keterangan Islam sumpah sebenarnya terletak kepada pihak yang kena dakwa dan bukannya orang yang mendakwa selari dengan prinsip Islam iaitu ”Keterangan pada pihak yang mendakwa dan sumpah kepada pihak yang mengingkarinya.
Di dalam jenayah Islam kes-kes yang melibatkan qisos seperti membunuh para fuqaha masih tidak sepakat dalam menerima sumpah sebagai dalil mensabitkan jenayah. Imam Malik, Syafie dan Ahmad berpendapat, sumpah diterima oleh Islam sebagai dalil atau bukti jenayah ke atas tertuduh jika tiada bukti lain, atau bukti tidak cukup. Sedangkan Imam Abu Hanifah berpendapat sumpah bukan suatu bukti atau dalil mensabitkan jenayah, tetapi satu cara bagi menafikan tuduhan yang dibuat oleh pendakwa ke atas tertuduh. Jenayah qisos yang dibolehkan bersumpah dalam mensabitkan jenayah hanyalah dalam jenayah membunuh sahaja.
Dalam kes-kes yang melibatkan hudud (zina, qazaf (menuduh zina), minum arak, mencuri, samun, memberontak dan murtad), sumpah hanya diterima sebahagian kecil ulama’ dalam kes-kes tertentu seperti qazaf dan mencuri sahaja.
Manakala di dalam kes qazaf (menuduh zina), menurut Mazhab Shafie, sekiranya pendakwa tidak mempunyai apa-apa keterangan atau tidak cukup bukti, maka tertuduh boleh diminta bersumpah menafikan dakwaan itu. Jika tertuduh bersumpah, maka gugurlah dakwaan itu. Walaubagaimanapun, Imam Malik dan Ahmad tidak menerima langsung sumpah sebagai satu bukti mensabitkan kesalahan qazaf.
Di dalam kes melibatkan curi, menurut Mazhab Shafie, sekiranya kesalahan mencuri tidak dapat dibuktikan maka pihak tertuduh boleh diminta bersumpah. Jika tertuduh enggan, pihak yang kena curi boleh bersumpah al-yamin al-mardudah. Tetapi pandangan ini tidak diterima oleh mazhab-mazhab yang lain. Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat sumpah hanya boleh diterima dalam kes-kes mal atau sivil sahaja.
Dalam kes-kes mal atau sivil, yakni yang melibatkan yakni yang melibatkan pertikaian suami isteri atau rumahtangga, atau perebutan harta, sumpah perlu dilakukan dalam Mahkamah setelah diperintahkan oleh Hakim untuk berbuat demikian. Seksyen 87 (1) dan (2) Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan:- Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh Plaintif dan Defendan, dan jika Defendan menafikan tuntutan terhadapnya, dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut Hukum Syarak.”
”Jika Defendan mengangkat sumpah di bawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh Plaintif hendaklah ditolak.”
”Jika Defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta Plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.”
PGSM berpendirian bahawa di dalam kes-kes yang melibatkan jenayah syariah seperti liwat, khalwat serta persetubuhan luar nikah hendaklah dibuktikan oleh pihak pendakwa di Mahkamah dan pihak yang dituduh boleh untuk menafikan tuduhan tersebut melalui keterangan dan boleh bersumpah sekiranya diperintah oleh Hakim berbuat demikian. Namun demikian sumpah tersebut tidak mengikat hakim di dalam membuat keputusan sabitan kesnya.

J/kuasa Fatwa Pulau Pinang tolak video fitnah, nasihat orang ramai


 Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinangyang bersidang pada 7 April 2011 lalu, telah membincangkan mengenai isu penyiaran video lucah yang didakwa melibatkan ketua pembangkang.
Mesyuarat yang dipengerusikan Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Haji Hassan Ahmad, memutuskan bahawa  penyiaran video lucah kepada orang ramai jelas bertentangan dengan Hukum Syarak.
Menurut AJK Fatwa berkenaan, rakaman video tidak boleh diterima sebagai bukti keterangan dalam Islam kerana ianya boleh direka dan dilakonkan semula.
Manakala mereka yang terlibat menyiarkannya adalah tidak bermoral sebagaimana firman Allah dalam surah berikut:
Surah an-Nur : ayat 4
“Dan orang yang melimparkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik-baik, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka selamanya; dan mereka adalah orang yang fasik”.
Surah an-Nur : ayat 13
“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat saksi itu, maka mereka itu
pada sisi hukum Allah adalah orang yang dusta”
Surah an-Nur : ayat 23
“Sesungguhnya orang yang menuduh wanita-wanita yang terpelihara kehormatannya, yang tidak memikirkan sebarang kejahatan, lagi beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di Akhirat, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar”.
Surah al-Hujarat : ayat 6
“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan”.
Oleh itu kata Jawatankuasa Fatwa tersebut berkata , orang awam dinasihatkan tidak menonton video itu kerana menurut Hukum Syarak dan Undang-Undang Islam, rakaman video tidak  boleh dijadikan hujah dalam pembuktian untuk menjatuhkan hukuman had zina.
“Malah orang yang menyiarkan video itu boleh dijatuhi hukuman had qazaf (tuduhan zina) jika gagal membawa empat orang saksi yang adil.

Sumpah laknat Datuk T tak ikut ajaran Islam- Ustaz Shamsul


KUALA LUMPUR: Bekas Imam Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara, Ustaz Shamsul Firdaus Alhafiz berkata, sumpah laknat yang dilakukan Trio Datuk T, tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar.
Beliau merujuk tindakan salah seorang individu terbabit, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang dikatakan mahu mengangkat sumpah laknat di Masjid Amru Al-As di Sentul selepas solat Jumaat esok.
“Sumpah untuk nak buktikan tuduhan zina cuma boleh dilakukan terhadap isteri sahaja. Itu dipanggil sebagai sumpah Li’an. Itu dinyatakan dalam Al Quran Surah An Nur ayat ke 6 hingga ke 10, ” ujarnya kepada Keadilandaily.
“Sumpah li’an ini pula adalah sumpah saling rela dilaknat, ia tak ‘laku’ kalau hanya sebelah pihak sahaja. Kedua, ia tidak ‘laku’ kalau tidak membabitkan suami dan isteri,
“Sumpah yang dilakukan Datuk T ini tidak terpakai dan tak boleh pakai,” tegas beliau.
Katanya, sumpah mubahalah seperti yang diperkatakan ramai orang pula, hanya melibatkan persoalan akidah dan tidak ada kaitan dengan hukum syarak.
“Sumpah Mubahalah cuma nak menyatakan dalam soal perdebatan akidah dan ia tidak menyangkut paut dengan hukum syarak. Ia berkenaan akidah sahaja. Misalnya perdebatan antara ahli kitab dan orang Islam, dalam tuduhan seks tidak ada sumpah muhabalah.
Justeru, katanya, tindakan Datuk T yang terdiri daripada Shazryl Eskay, Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, dan bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim itu tidak diterima dalam kaedah perundangan Islam.
Dalam kes fitnah membabitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Shamsul berkata,  di dalam Islam, ia perlu mengikut saluran yang ditetapkan hukum syarak.
“Dia (Datuk T)  kena ikut proses, sebab itu perlu membawa empat saksi. Kriteria saksi ini mesti lah memenuhi syarat seperti adil, tidak fasik dan tidak buat dosa-dosa besar,” jelas beliau.
Ketika ditanya mengenai hukum daripada tindakan individu berkenaan, Shamsul berkata sumpah yang dilakukan itu tidak memberi sebarang kesan kepada yang dituduh mahupun yang menuduh.
“Ia tidak boleh dijadikan asas sebagai penerimaan bukti samada betul atau tidak,” tambahnya.
Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Ustaz Dr Badrul Amin Bahron pula mengingatkan umat Islam supaya jangan sewenangnya mempermainkan agama dengan merujuk tindakan individu berkenaan.
“Jangan sampai kita semua dilaknat Allah! Siapa ajar sumpah-sumpah ini? Agama apa? Kenapa di masjid? Sumpah bukan ajaran Islam, ikut Islam sebat je mereka ini,” katanya sambil menyeru umat Islam merujuk surah An-Nur ayat 4.

Monday, March 28, 2011

Surat Terbuka Dari Dato Mat Zain:AG Pintar bermain silap mata

Mat Zain bin Ibrahim,
SAC II G/5776(Retired),
Email:matzainibrahim@gmail.com
Kepada,
YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar,IGP,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
Bukit Aman,
50560 Kuala Lumpur.
Email:iho@rmp.gov.com
28hb.March 2010
YDH Tan Sri,
PENYIASATAN KES VIDEO LUCAH DAN KESUDAHANNYA :-
MAKLUMAT HUBUNGAN LAMPAU DIANTARA TIGA TAN SRI IAITU, GHANI PATAIL , MUSA HASSAN DAN RAHIM THAMBI CHIK.
Semoga Tan Sri tenang dan tabah menangani cabaran mendatang.
2. Saya percaya Tan Sri sedar video lucah mana yang saya maksudkan.Saya yakin sepenuhnya bahawa PDRM mampu menjalankan tanggung jawabnya menjalankan siasatan tersebut secara professional dan berkecuali dan tidak terpengaruh dengan tekanan mana-mana pihak sekalipun, lebih-lebih lagi dibawah pimpinan Tan Sri ketika ini.
2.1. Namun begitu kertas siasatan ini kelak akan diteliti dan diputuskan olih Gani Patail,Peguam Negara.Diperingkat inilah dijangka akan berlaku,putar belit,manipulasi,penipuan dan pemalsuan apabila sedar akan caramana Gani Patail dan Musa Hassan menangani penyiasatan kes-kes jenayah apabila melibatkan Anwar Ibrahim(Anwar) dan Rahim Thambi Chik (Rahim) dimasa lampau.
2.2. Tidak syak lagi isu video ini adalah satu lagi “pertembungan” diantara Anwar dan Rahim.Adalah dipercayai juga motif pendedahannya,tidak kira samada video tersebut adalah tulen atau direkacipta,adalah terbit daripada dendam lama Rahim terhadap Anwar atas isu peribadi atau politik diantara mereka berdua.
LAPORAN POLIS ANWAR YANG MEMBABITKAN RAHIM.
3. Diantara 9 July 1999 hingga 20 Ogos 1999,Anwar telah membuat sejumlah empat(4) laporan Polis, mendedahkan perbuatan rasuah pemimpin-pemimpin Politik dan Kerajaan.Dalam laporan-laporan berkenaan Anwar turut mendakwa dan menamakan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir,Peguam Negara Allahyarham Mohtar Abdullah dan Gani Patail,ketika itu DPP Kanan,sebagai orang-orang yang telah menyalahgunakan kuasa dan menutup kes-kes rasuah tersebut.
3.1. Pertembungan lampau antara Rahim dan Anwar adalah apabila salah satu diantara laporan tersebut iaitu Tun H.S.Lee report 22517/99 bertarikh 20.8.1999 yang dibuat olih Anwar melibatkan Rahim.Dalam laporan ini Anwar juga mendakwa Tun Mahathir,Allahyarham Mohtar dan Gani Patail sebagai telah menyalahgunakan kuasa mereka melindungi perbuatan rasuah Rahim serta menutup siasatan dan tidak mengenakan sebarang pendakwaan terhadap beliau.
3.2. Bersekali dengan report tersebut, Anwar telah menyertakan satu set salinan laporan siasatan Badan Pencegah Rasuah(BPR)terhadap Rahim yang disahkan oleh Bahagian Pendakwaan,Jabatan Peguam Negara dan ditanda tangani oleh Gani Patail yang mengkelaskan dokumen tersebut sebagai RAHSIA.Dokumen-dokumen ini dikatakan diberi kepada Anwar oleh Peguam Negara dan/atau Gani Patail ketika Anwar masih Timbalan Perdana Menteri.
4. Untuk makluman Tan Sri,secara kebetulan, saya yang menangani keempat-empat laporan yang Anwar buat itu termasuk laporan melibatkan Rahim atas sifat saya sebagai Ketua Jabatan Sisasatan Jenayah(KJSJ) Kuala Lumpur ketika itu.Saya perhatikan juga amaun rasuah melibatkan Rahim adalah antara yang paling sedikit jika dibandingkan dengan laporan-laporan lain.Jumlah terlibat lebih kurang RM40 juta(Empat puloh juta Ringgit sahaja) atau angka yang lebih tepat ialah RM 39,782,772.60 sen. Amaun ini dikatakan diperolehi olih Rahim menerusi salahguna kuasa dan kegiatan rasuah setakat yang dapat dikesan menerusi siasatan terperinci BPR dan disahkan olih Gani Patail.
4.1. Sebagai rekod Tan Sri,amaun terbesar yang disebutkan dalam salah satu laporan Anwar itu, melibatkan seorang pemimpin yang dikatakan telah memperolehi harta berjumlah dalam lingkungan RM 370 juta.(tiga ratus tujoh puloh juta Ringgit) dalam bentuk RM 220 juta tunai dan RM150 juta dalam bentuk saham,menerusi jalan rasuah.
5. Wajar saya jelaskan disini bahawa terdapat perbezaan pendapat antara KJSJ Kuala Lumpur dengan Jabatan Peguam Negara mengenai cara pendekatan menangani laporan-laporan Anwar tersebut.Jabatan Peguam Negara menasihatkan supaya laporan-laporan tersebut diklasifikasikan di-bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 sahaja.Manakala KJSJ berpendapat klasifikasi ini tidak sepadan dengan laporan dan keterangan yang pengadu kemukakan serta mencadangkan kesemua laporan berkenaan diklasifikasikan dibawah Seksyen 2(1)Emergency(Essential Powers)Ordinance 2,1970 berkaitan kesalahan salahguna kuasa. Cadangan bertulis KJSJ terdapat dalam fail rujukkan (PR)35/26 bertarikh 25.8.1999.Siasatan dibawah Seksyen ini dijangka akan membabitkan rakaman keterangan daripada Tun Mahathir,Allahyarham Mohtar dan Gani Patail sendiri serta lain-lain kenamaan.
5.1. Bagaimanapun pada 28.8.1999 saya telah menerima satu surat daripada Jabatan Peguam Negara Rujukan PRM(WP)5/99 SULIT(5) yang dialamatkan kepada saya persendirian,memaklumkan secara spesifik bahawa laporan yang Anwar buat melibatkan Rahim, akan disiasat oleh Musa Hassan setelah kononya Gani Patail membuat laporan terhadap Anwar pula kerana kesalahan di-bawah Akta Rahsia Rasmi.
5.1.2. Apa yang berlaku ialah, Gani Patail dengan kemudahan yang diberi oleh Musa Hassan telah menterbalikkan kedudukkan laporan Anwar yang melibatkan Rahim untuk menyebabkan Anwar pula disiasat dibawah Akta Rahsia Rasmi.Lebih mudah untuk saya menyatakan laporan melibatkan Rahim itu telah di”hijacked” oleh Musa Hassan daripada tangan KJSJ Kuala Lumpur.
5.1.3. Saya tidak pernah melihat laporan Polis yang kononya dibuat oleh Gani Patail itu ataupun kertas siasatan yang kononnya dibuat oleh Musa Hassan.Belum pernah juga berlaku Jabatan Peguam Negara pula yang memilih Pagawai Penyiasat yang mereka berkenan menyiasat sesuatu laporan polis.
5.2. Bagi mengelakkan sebarang keraguan berkaitan peristiwa diatas,saya sertakan buat pertama kalinya salinan surat Jabatan Peguam Negara bertarikh 28.8.1999 yang saya maksudkan.Walaupun ringkas, surat ini dengan jelas menunjukkan posisi Gani Patail,Musa Hassan dan saya berkaitan siasatan laporan Anwar yang melibatkan Rahim.
5.3. Secara kebetulan saya telah melaporkan perkara ini ketika Tan Sri masih Timbalan Ketua Polis Negara lagi, menerusi surat saya bertarikh 6.5.2010 dengan salinannya kepada YB Menteri Dalam Negeri.
6. Perbandingan yang boleh dibuat disini ialah apabila menangani siasatan terhadap Anwar, Gani Patail dan Musa Hassan sanggup melakukan apa sahaja antaranya memaksa pakar Kerajaan membuat beberapa laporan palsu, mengujudkan keterangan DNA palsu,menipu dan melakukan tindakan-tindakan melampaui batasan undang-undang dan lojik untuk mensabitkan kesalahan terhadap Anwar.
6.1. Sebaliknya apabila menangani siasatan berkaitan Rahim pula, Gani Patail dan Musa Hassan, sanggup melakukan apa sahaja antaranya, menterbalikkan fakta dan memutarbelitkan keterangan untuk membersihkan Rahim daripada sebarang salah laku jenayah sambil meletakkan kesalahan terhadap pengadunya pula.
6.2. Walaupun Musa Hassan telah bersara namun Gani Patail masih berkuasa sebagai Peguam Negara.Apabila siasatan mengenai video lucah ini sampai ketangan Jabatan Peguam Negara kelak,kita boleh menjangka pendirian Gani Patail, lebih-lebih lagi apabila mengambil kira isu video lucah ini juga adalah pertembungan antara Rahim dan Anwar.
6.3. Sekadar makluman Tan Sri juga,Dr.Abdul Rahman Yusof,Pakar Forensic HKL,yang telah digunakan oleh Gani Patail untuk menyediakan 3 laporan palsu dalam siasatan kes Mata-Lebam, adalah juga Pakar Forensic yang sama terlibat dalam membuat pemeriksaan fisikal Rahim, dalam kes seksual dengan gadis bawah umor berkaitan.Kebetulan juga saya pernah menjadi KJSJ Melaka sebelum Kuala Lumpur dan tidak munasabah jika saya tidak meneliti kertas siasatan kes Rahim itu, walaupun saya bukan Pegawai Penyiasatnya.Mungkin ini semua adalah “the long arm of coincidences” sahaja.
7. Mengenai kes rasuah terhadap Rahim pula,BPR dan Jabatan Peguam Negara mengesahkan dalam laporan mereka bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk membuktikan kes “prima facie” terhadap beliau.Malahan Jabatan Peguam Negara telah menyediakan empat (4)pertuduhan kesemuanya. Iaitu;3(tiga) pertuduhan dibawah Emergency(Essential Powers)Ordinance No:22 of 1970 dan satu pertuduhan kerana membuat Statutory Declaration (SD) palsu dibawah Sek.199 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan.
7.1. Bagaimanapun Rahim tidak dituduh langsung,setelah Peguam Negara “indemnify” segala kesalahan jenayahnya setelah Rahim dipercayai bersetuju untuk melepaskan jawatan dalam Kerajaan,Badan-Badan Berkanun dan Parti Politik.Ini adalah apa yang terdapat didalam laporan yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara sendiri.
7.2. Tidak ada sebutan mengenai cara pelupusan harta berjumlah hampir RM40 juta yang Rahim perolehi secara rasuah itu..Tiada maklumat mengenai persetujuan yang dicapai oleh Rahim dan Peguam Negara berkaitan harta yang diperolehi sedemikian itu dalam bentuk:RM 5,439,796.40 sen dalam kawalan peribadi Rahim sendiri,RM14,487,420.50 sen simpanan tunai dalam beberapa buah bank dan RM19,855,555.70 sen harta Syarikat-Syarikat.
7.3. Persoalan yang tidak kurang pentingnya ialah adakah Peguam Negara mempunyai kuasa untuk “indemnify” kesalahan jenayah mana-mana orang berdasarkan pertimbangan Politik?. Adakah Peguam Negara berhak melepaskan wang Rakyat RM 40 juta sebegitu mudah untuk Rahim menikmatinya tanpa sebarang tindakan.Adakah ini sesuatu yang adil kepada Rakyat sedangkan Peguam Negara yang telah mengesahkan bahawa Rahim memperolehi harta sedemikian banyak menerusi salahguna kuasa dan rasuah.Apa yang jelas dalam kes Rahim ini,,Peguam Negara juga telah menyalahgunakan kuasanya.
8. Saya ingin Tan Sri maklum,bahawa secara peribadi saya tidak mempunyai sebarang isu dengan Rahim.Malahan saya tidak pernah mengenali beliau,sekalipun untuk berjabat salam dengannya seumor hidup.Saya sendiri tidak sangka yang beliau akan muncul sebagai salah seorang dibelakang tayangan video lucah berkenaan.Keterangan-keterangan yang dikemukakan dalam laporan ini adalah berdasarkan pengalaman,pengetahuan peribadi serta dokumen-dokumen berkaitan, ketika saya menangani kes membabitkan beliau.
8.1. Isu yang sering saya bawa sehingga keperingkat YAB Perdana Menteri secara persendirian, ialah bekenaan dengan salahlaku jenayah Gani Patail dan Musa Hassan yang bukan sahaja telah menjejaskan maruah PDRM dan saya secara peribadi malahan mereka mengkucar-kacirkan Sistem Keadilan Jenayah kita.Saya tidak ralat mendedahkannya memandangkan saya telah menasihatkan mereka berdua tahun 1998 bahawa sebarang pemalsuan dan penganiayaan akan terbongkar suatu hari nanti.Salahlaku jenayah mereka bukan setakat dalam siasatan kes mata-lebam sahaja.Saya yakin Tan Sri dan Timbalan Ketua Polis Negara maklum akan pendirian saya berkaitan perkara ini.
9. Walaubagaimanapun isu video lucah ini sedang dalam siasatan dan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenainya.Diharap maklumat yang saya sampaikan ini berfaedah untuk membantu Tan Sri memberikan pendengaran yang adil kepada semua pihak terlibat.Apapun saya berharap Tan Sri tidak akan merelakan PDRM diperlakukan sesuka hati Peguam Negara seperti yang berlaku selama beberapa tahun sebelum Tan Sri.
Selamat sejahtera dan selamat maju jaya.
Yang ikhlas,
Mat Zain Ibrahim
28 March 2011