Showing posts with label Nota Perbahasan. Show all posts
Showing posts with label Nota Perbahasan. Show all posts

Monday, January 31, 2011

Nota Ucapan Anwar Ibrahim Di Parlimen Berkenaan Skandal APCO – 30 Mac 2010

Terima kasih kepada Tan Sri Speaker kerana memberi ruang kepada saya untuk memberi penjelasan mengenai peranan dan skop penglibatan firma perhubungan awam bernama APCO. Isu ini wajar diberi perhatian khusus kerana ianya bukan sekadar isu 1Malaysia atau 1Israel atau tohmahan yang dilemparkan kepada saya sebagai seorang agen Yahudi. Namun demikian, isu-isu terbabit ditenggelami jika hendak dibandingkan dengan skandal dahsyat yang bakal didedahkan hari ini; yang tidak bersangkutan dengan kedudukan mahupun reputasi saya atau pun reputasi rakan-rakan saya. Sesungguhnya keselamatan negara kita dalam bahaya. Isu ini membongkar politik kronisme yang membarah serta rundingan sulit pihak tertentu sehingga membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi kini wujud ancaman terhadap keselamatan nasional, maklumat strategik negara terdedah kepada agensi perisikan asing dan tercalarnya maruah umat.
Bagi mengelak sebarang keraguan penjelasan saya hari ini bukan sekadar muslihat politik atau tuduhan tidak berasas, Insya Allah, setiap kenyataan saya hari ini akan disokong dengan dokumen, rencana malah salinan perjanjian yang ditandatangani oleh pihak-pihak terbabit.
Sehingga kini Perdana Menteri belumpun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.
Selama ini kita hanya dimaklumkan bahawa penglibatan APCO adalah terhad, tetapi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini menunjukkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan membimbangkan.
Ini berdasarkan kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri yang menyatakan:
“Kerajaan ada melantik Syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh…APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara. ”
Manakala bagi pihak APCO sendiri, mereka merumuskan penglibatan mereka seperti berikut:
“APCO’s work has included communication support for a broad range of reform initiatives undertaken by the government of Malaysia, especially in the areas of creating jobs, promoting education, and strengthening delivery of services to the people.”
Kenyataan tersebut sebenarnya membuka pekung serta memunculkan lebih banyak persoalan. Ini bukan syarikat perhubungan awam biasa yang sekadar menulis ucapan mahupun kenyataan akhbar ataupun bertindak melonjakkan imej Perdana Menteri walau itupun amat dikesalkan kerana ianya dilakukan menggunakan dana rakyat. Dilaporkan usaha ini menelan belanja sekitar RM 20 juta. Secara sedar atau tidak kenyataan APCO mengakui bahawa lantikannya adalah untuk membantu strategi komunikasi yang menyeluruh, bermakna firma tersebut terlibat secara langsung memberi bantuan komunikasi di dalam pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan. Ini bermakna, APCO terlibat secara langsung dalam mempengaruhi mesej yang disampaikan kepada rakyat dan saya akan terangkan dengan mendalam kenapa perkara ini sangat membahayakan kepada rakyat dan negara.
Pada 18hb Mac 2010, APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dengan gagasan 1Malaysia, kononnya konsep itu wujud sebelum APCO dilantik sebagai firma perunding.
Penafian yang dibuat oleh APCO itu merupakan usaha mereka untuk mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan pentadbiran Perdana Menteri sekarang. Penafian tersebut menggambarkan bahawa ianya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak, atau Dato’ Sri Najib sendiri, pembantunya atau para penasihatnya.
Sebuah portal berita telah melaporkan pada 28 Julai 2009 setakat mana penglibatan APCO dengan pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Najib.
Antara lain, dilaporkan bahawa perkhidmatan APCO ini diperkenalkan kepada Perdana Menteri oleh Omar Mustapha, penasihat Perdana Menteri yang juga teman lama YB Rembau dan rakan kongsi firma perunding Ethos Consultancy. Saya akan buktikan selepas ini bagaimana perkaitan di antara Omar Mustapha dan APCO sebelum pun APCO dilantik secara rasmi sebagai perunding kerajaan.
Walaupun yang diumumkan kepada negara dan rakyat bahawa 1Malaysia dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri peranan Ethos Consultancy tidak boleh diremehkan. Ternyata kebanyakan dari kita tidak menyedari hubungan akrab eksekutif Ethos dan APCO yang masih berterusan.
Sebab itu kita tidak hairan, sebaik sahaja Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri, Omar Mustapha dikhabarkan membawa masuk APCO menjadi perunding komunikasi kerajaan.
Malah, laporan berita tersebut dengan jelas menyatakan bahawa seorang penasihat dari APCO telah pun ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak dari awal Perdana Menteri mengambil alih.
APCO juga dilaporkan terlibat secara langsung dalam menentukan strategi 100 hari pentadbirannya, termasuklah mesej dan dasar utama seperti 1Malaysia dan inisiatif yang lain.
Berdasarkan laporan tersebut juga pegawai-pegawai kanan kerajaan dikatakan tidak selesa apabila Perdana Menteri ingin menganugerahkan kontrak bernilai RM20 juta kepada APCO untuk meneruskan kerja-kerja rundingan kepada kerajaan. Kontrak itu dijangka dianugerahkan antara bulan Julai dan September 2009; iaitu selepas penglibatan individu dari APCO yang dibawa masuk pada tempoh awal Perdana Menteri mengambil alih.
Semua ini bukan saya yang kata, bukan Pakatan Rakyat yang cipta – semuanya telah pun dilaporkan sejak tahun lalu dan ianya belum pun dinafikan pihak yang dikatakan terlibat.
Sebab itu mengambil kira beberapa peristiwa atau contoh yang berlaku apabila kerajaan ditipu oleh penasihat-penasihat asing sehingga menyebabkan kerugian berbillion ringgit; atau diaibkan di peringkat antarabangsa; saya melihat episod perlantikan APCO ini sebagai satu lagi kelalaian yang boleh merugikan dan membahayakan negara.
Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengingatkan Perdana Menteri dan kerajaan untuk tidak mengulangi kesilapan dan kelalaian lepas apabila terlalu percayakan penasihat asing sehingga kita tidak memeriksa dengan tepat reputasi mereka serta penglibatan mereka sebelum ini. Apatah lagi perlantikan tersebut diselubungi misteri dan tanpa penelitian.

Monday, January 24, 2011

Perbetulkan Kemusnahan Institusi Demokrasi Di tangan UMNO

Nota Perbahasan YB Azmin Ali
Tuan Speaker,
1. Saya ingin menyertai perbahasan Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dibentangkan oleh Menteri Besar sebentar tadi.
2. Rang Undang-Undang ini adalah amat penting untuk:
i. Memperjelaskan sistem pemerintahan di negara ini yang berpaksikan sistem Demokrasi Berparlimen (Parliamentary Democracy) dan Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy);
ii. Mengembalikan kuasa Pemerintah dan Menteri Besar dalam perlantikan di bawah Perkara 52 di dalam Bab 3 untuk menjamin wujudnya proses timbang tara (check and balance) dan kemurniaan peranan di antara institusi Raja dan Ketua Kerajaan Negeri yang dipilih oleh rakyat;
iii. Menyuntik kekuatan baru kepada sistem Persekutuan atau Federalisme;
iv. Menjamin keberkesanan perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang dipilih oleh rakyat.
3. Alhamdulillah, hari ini Dewan Negeri Selangor melakar sejarah apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 khususnya pada Perkara 52 (1) berkaitan dengan perlantikan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.  Usaha yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat adalah untuk mengembalikan prosedur untuk perlantikan ini seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri yang sama yang mana peruntukan ini telah dimansuhkan dalamn tahun 1993 oleh makhluk perosak bernama UMNO.
4. Usaha ini tidaklah mudah.  Pelbagai pihak yang menjadi alat dan perkakas UMNO cuba memberikan penakrifan undang-undang mengikut selera dan nafsu serakah peimimpin UMNO di Putrajaya bagi menghalang mesyuarat pada pagi ini.
5. Lihat sahaja kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar berhubung usaha Menteri Besar untuk kembali ke Dewan yang mulia ini untuk memperbetulkan kerosakan sistem tatkala di tangan UMNO.
6. Antara lain, Noh Omar mendakwa Pakatan Rakyat sanggup melakukan apa sahaja yang bercanggah dengan undang-undang.  Beliau juga membuat tuduhan jahat bahawa pindaan ini bermaksud untuk memberikan kuasa kepada Menteri Besar dan bukan memberikan kuasa kepada Tuanku Sultan.
7. Kenyataan ini timbul dari seorang watak yang buta sejarah dan jumud pemikirannya.  Ini mengingatkan saya kepada puisi seorang budayawan Indonesia bernama Ehma Ainul yang berkata, “Nasib malang golongan yang bernama rakyat.  Rakyat yang terlalu lama diperbodohkan tidak tahu apa itu kebodohan.”
8. Di Selangor, rakyat makin cerdas dan mendapat pencerahan.  Golongan rakyat yang terlalu lama diperbodohkan adalah orang UMNO sendiri sehingga tidak tahu mereka diperbodohkan, mereka tidak tahu apa itu kebodohan.
9. UMNO mencuba untuk memperbodohkan rakyat dengan menggunakan media arus perdana milik mereka sendiri.  Tetapi rakyat dibebaskan dengan pengembangan internet dan media baru.  Pemimpin UMNO yang tidak menurut arus perkembangan teknologi ini, diperbodohkan akibat terlalu lama hidup dalam kepompong mereka sendiri.
10. Kita, rakyat Selangor bersyukur kerana Allah SWT telah mengurniakan seorang Raja yang berilmu, kompeten, bijaksana, adil dan menaungi rakyat Selangor.  Saya sedia maklum bahawa Tuanku Sultan adalah seorang Raja yang mencintai buku.  Kegemaran ini adalah cerminan kepada kecintaan Baginda terhadap tradisi ilmu dan budaya intelektual.  Budaya inilah yang akan membawa Negeri Selangor lebih yakin untuk mendepani cabaran abad ke-21.  Rakyat Negeri Selangor tidak akan dapat melupakan perkenan Tuanku untuk menandatangani proklamasi untuk memanggil mesyuarat pagi ini selaras dengan kuasa dan tanggungjawab Tuanku yang diperuntukkan di bawah Perkara LXX (1) dan LV (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
11. Mesyuarat pagi ini juga penting untuk anak bangsa memahami sejarah.  Sejarah tidak boleh dipadamkan walaupun UMNO sering menggunakan “profesor kangkung” seperti Ramlah Adam untuk memutarbelitkan sejarah.  Mesyuarat hari ini akan menulis semula sejarah berdasarkan fakta dan ilmu di mana anak bangsa kita khususnya rakyat Negeri Selangor akan diingatkan bahawa UMNO yang merosakkan dan menjahanamkan institusi-institusi demokrasi termasuk sistem Raja Berperlembagaan dalam Negara Malaysia yang tercinta ini.
12. Orang Melayu tidak mudah lupa.  Rakyat Malaysia juga tidak mudah lupa.  Yang mudah lupa hanyalah pemimpin-pemimpin UMNO dan mereka ini sering menjadi mangsa propaganda yang mereka cipta untuk menipu rakyat.  Tetapi yang tertipu bukan rakyat tetapi mereka sendiri.
13. Saya amat bimbang usaha-usaha UMNO sekarang ini yang terdesak untuk menyemarakkan politik perkauman sempit yang boleh memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.
14. Di akhir mesyuarat pada hari ini, saya yakin rakyat akan dapat menjawab persoalan yang dilontarkan oleh Menteri Besar dalam pembentangan pagi ini yang berbunyi, “Derhakakah kami jika kami mahu mengembalikan kedaulatan negeri dan Baginda Sultan yang memerintah negeri yang berdaulat ini?”

I. SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN DAN RAJA BERPERLEMBAGAAN
15. Kerajaan Negeri Selangor hari ini adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, kerajaan yang mendapat mandat dan amanah dari rakyat melalui proses demokrasi.  Pada 8 Mac 2008 majoriti rakyat Negeri Selangor menolak parti UMNO dan Barisan Nasional yang bergelumang dengan rasuah, salah guna kuasa dan keangkuhan pemimpin.
16. Inilah demokrasi dari pandangan Dr. Yusuf Qaradhawi, seorang tokoh ulama’ yang tersohor.  Yusuf Qaradhawi telah mengupas persoalan intipati demokrasi (essence of democracy) dalam bukunya berjudul Fatawa Muafirah (Contemporary Fatwa).  Menurut Yusuf Qaradhawi, demokrasi adalah hak rakyat untuk memilih siapa yang harus memerintah dan mentadbirkan urusan mereka.  Demokrasi juga bermakna hak rakyat untuk menolak pemerintah yang mereka tidak suka atau menolak aturan dan sistem yang mereka tidak suka.
17. Demokrasi juga membawa maksud hak rakyat untuk menilai dan melakukan muhasabah apabila seseorang pemimpin itu bersalah dan hak rakyat untuk menurunkan pemerintahan apabila pemimpin menyimpang dari prinsip.  Tegas Yusuf Qaradhawi, “Kalau itulah intipati demokrasi, di manakah konflik dengan ajaran Islam?”.  Yusuf Qaradhawi juga membuat kiasan bersandarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa, “Seseorang Imam yang mengimami satu kelompok yang diketahui olehnya tidak disukai oleh makmum tetapi masih berdegil untuk menjadi Imam, maka, pahala solatnya tidak terangkat walaupun seinci daripada kepalanya.”
18. Apa yang cuba disampaikan ialah dalam solatpun, makmum boleh menolak seseorang Imam yang tidak disukainya apatah lagi dalam persoalan politik, pentadbiran dan pengurusan ekonomi.  Demokrasi akan hanya bermakna sekiranya ada pendewasaan pemikiran rakyat dan pencerahan.
19. Prinsip Raja Berperlembagaan pula adalah penerimaan kepada nilai-nilai Syariat yang mana terkandung di dalamnya prinsip-prinsip keadilan iaitu memberikan hak kepada yang berhak.  Maka, sewajarnya hak rakyat Selangor dipertahankan untuk ditadbir oleh kerajaan yang dipilih melalui sistem demokrasi ini.
20. Tanggungjawab Menteri Besar sebagai Ketua Kerajaan Negeri adalah amat penting dalam sistem demokrasi.
21. Justeru itu Pakatan Rakyat Negeri Selangor mengemukakan seorang tokoh yang berwiba, berpengalaman dan prihatin terhadap rakyat sebagai Ketua Kerajaan Negeri untuk merencana dasar-dasar kepedulian rakyat.
22. UMNO tidak senang dengan prestasi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang berjaya membangunkan negeri dan merakyatkan ekonomi melalui tatakelola yang baik (good governance).  Justeru itu, rakyat menyaksikan gelagat UMNO melalui siri-siri tindakan yang tidak demokratik untuk sabotaj sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.  Ini termasuk memperalatkan institusi-institusi kerajaan seperti SPRM, PDRM dan Mahkamah bagi menggagalkan sistem perkhidmatan dan pentadbiran Kerajaan Negeri.
23. Sehinggakan lembu korban yang disumbang kepada masjid-masjid dan surau-surau di Negeri Selangor menjelang Eidul Adha dijadikan helah untuk menyiasat dan menekan pentadbiran Menteri Besar.  Hasrat mereka adalah sekiranya Menteri Besar atau Exco Kerajaan Negeri atau mana-mana Ahli Dewan Negeri Selangor dari Pakatan Rakyat dapat didakwa dengan pelbagai tuduhan ciptaan UMNO ianya akan memberikan peluang bagi UMNO untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat ini.
24. Konspirasi jahat ini tidak terhenti di situ, hari ini UMNO menggunakan jentera pentadbiran pusat untuk mensabotaj pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.  Putrajaya ingin menganggu kelicinan dan kecekapan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program-program rakyat yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri.