Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Wednesday, December 7, 2011

Apabila Sistem Kehakiman Rapuh: Di Mana Keadilannya?

Saya tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, saya juga tidak tahu sejauh mana kebenaran pihak yang mendakwa mahupun kebenaran pihak yang membela DSAI. Tetapi saya beriman yang Allah Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan Maha Pemutus. Saya beriman yang banyak perkara di dalam hidupan dunia yang kebenarannya bersifat nisbi; kecuali kebenaran mutlak yang menyelamatkan , ianya berpunca dari perkhabaran Allah dan Rasul-Nya.

Bagaimanapun ketika membaca al-Quran dalam usaha mengkhatam al-Quran dalam bulan Ramadan yang mulia ini pada minggu yang telah berlalu, ayat ke 71 Surah Yunus terlekat di ingatan saya sehingga kini, ketika membacanya saya terlintas "apakah terdapat persamaan antara message terkandung di dalam ayat ini dengan keadaan yang dihadapi oleh DSAI?" - "Apakah sehinggakan perkara semasa sebeginipun, begitu jelas persamaannya dengan message di dalam al-Quran?" - "Atau kerana kecenderungan tertentu, maka saya pun sengaja mahu melihat dari sudut yang melegakan lantas mengiyakan perhitungan saya?" - 

واتل عليهم نبأ نوح أذ قال لقومه ياقوم أن كبر عليكم مقامى وتذكيرى بئايات الله فعلى الله توكلت فأجمعوا أمركم وشركاءكم ثم لا يكن أمركم غمة ثم اقضوا ألى ولا تنظرون 

"Dan bacalah (ya Muhammad) ke atas mereka (kaum kafir Makkah) berita tentang Nuh. Ketika dia berkata kepada kaumnya: "wahai kaumku, jikalaulah menjadi keberatan (ancaman) besar ke atas kamu dengan kehadiran (kedudukan) aku (di kalangan kamu) serta peringatan yang aku beri dari ayat-ayat Allah, maka kepada Allah lah aku bertawakkal. Maka (oleh itu) sepakatkan keputusan di kalangan kamu serta sekutu-sekutu kamu (untuk memusnahkan aku), kemudian janganlah jadikan perkara kamu itu kabur (terselindung; berterus terang sahaja lah tentang tujuan kamu ), kemudian laksanakan atas aku (apa-apa yang telah kamu putuskan itu) dan jangan kamu bertanggung-tangguh lagi". 

Perkara yang sama juga telah dinyatakan oleh tukang-tukang seher di zaman Saiyyidina Musa, apabila mereka sudah tahu maksud perbicaraan yang mereka akan lalui, ugutan siksaan yang dikenakan atas mereka oleh Firaun. Mereka mengungkapkan dengan penuh keimanan dan ketegasan, kenyataan itu telah diabadikan oleh al-Quran dalam ayat 71-72 Surah Taha : 

قالوا لن نؤثرك على ما جاءنا من البينات والذى فطرنا فاقض ما أنت قاض أنما تقىضى هذه الحيوة الدنيا أنا ءامنا بربنا ليغفر لنا خطايانا وما أكرهتنا عليه من السحر والله خير وأبقى

Mereka (tukang-tukang sihir yang kemudiannya telah memeluk Islam ) berkata: Kami sekali-kali tidak akan melebihkan (ugutan) engkau atas bukti-bukti yang nyata (tentang kebenaran Saiyyidina Musa) yang telah datang kepada kami dan daripada (Allah) yang menjadikan kami; maka berhukumlah dengan keputusan yang telah engkau putuskan, sesungguhnya engkau hanya berhukum pada kehidupan di dunia ini (sahaja; kerana kelak kamu juga akan menerima hukuman) . Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, semoga Dia mengampuni kami bagi kesalahan-kesalahan kami dan apa yang engkau paksa ke atas kami dalam melakukan sihir, sesungguhynya Allah lebih baik (balasan -Nya) dan lebih kekal (siksaan-Nya)
Allah juga merakamkan kenyataan Saiyyidina Hud yang dimusuhi oleh orang kafir kerana mereka mengatakan baginda menghina sembahan-sembahan mereka, Saiyyidina Hud menyatakan dalam ayat 55-56 Surah Hud:

قال أنى أشهد الله واشهدوا أنى برىء مما تشركون من دونه فكيدونى جميعا ثم لا تنظرون أنى توكلتو على الله ربى وربكم ما من دابة ألا هو ءاخذ بناصيتها أن ربى على صراط مستقم


Saiyyidina Hud berkata: "sesungguhnya aku bersaksi kepada Allah dan bersaksilah oleh kamu sekelian bahawa sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu syirikkan selain daripada-Nya, oleh itu laksanakan tipu daya sekelian kamu ke atas aku, janganlah kamu bertangguh lagi (laksanakan segera perancangan kamu), sesungguhnya aku telah bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhan sekelian kamu, Tiada suatu binatangpun yang melata kecuali Allah yang memegang ubun-ubunnya, sesungguhnya Tuhanku di atas Jalan Yang Lurus.


Dalam rakaman kenyataan-kenyataan di atas , kita dapat perhatikan gambaran menyeluruh tentang suasana apabila sistem kehakiman (pemutus hukum) tidak lagi bersikap objektif; sudah ada hukuman yang telah sedia dirancang untuk dihukum tanpa mengira kekuatan hujjah bagi pihak yang dituduh. Kemungkinan juga pihak penguat-kuasa peraturan dan beberapa pihak lain bersekutu dan berserongkol dalam menentukan yang dituduh akan tetap dihukum dengan hukuman yang telah diputuskan sebelum perbicaraan. Maka ketika itu apa lagi maknanya penghujjahan dan segala pembuktian, kerana hukuman bukan lagi bergantung atas hujjah tetapi mengikut pihak yang berkuasa.


Dalam keadaan itulah Rasul dan orang yang teguh imannya meminta pihak yang sedemikian agar tidak bertangguh-tangguh lagi, berselindung di sebalik 'procedures', bahkan segerakanlah laksanakan hukuman yang mereka telah rancangkan itu. Mereka tidak merasa terancam kerana mereka telah sandarkan keyakinan mereka yang utuh kepada Allah. Mereka melihat hukuman yang akan dikenakan ke atas mereka oleh pihak penguasa yang zalim itu tiada tara berbanding dengan ganjaran pahala menegakkan Tauhid, kebenaran serta memperteguhkan kesabaran serta siksaan kerana kesyirikan, kemaksiatan dan kezaliman. Kalau tidakapun apa lagi ada pilihannya?

Ya Allah selamatkan kami dari bala yang dahsyat seumpama ini, atau sekiranya kami ditakdirkan menghadapinya maka Engkau perteguhkan iman kami, Engkau tinggatkan tawakkal kami kepada Engkau serta Engkau tariklah ubun-ubun kami ke arah keselamatan.

Ya Allah selamatkan pihak penguasa kami, tanahair kami dari bencana seumpama ini, Ya Allah suburkan keimanan, kebajikan dn keadilan di tanahair kami serta Engkau peliharalah penguasa kami daripada melakukan kezaliman dan kemaksiatan kepada Engkau. Y a Allah jadikan kami hidup mengikut Syariat Engkau dan di atas Sunnah Nabi-Mu, Saiyyidina Muhammad.


Semoga saya masih memelihara pesan guru-guru saya agar mengelak diri dari menceburi politik, semoga catitan ini akan membawa manafaat kepada saya dan saudara-saudara seagama tanpa prejudice politik kepartian. Amin 

Thursday, September 29, 2011

Koleksi Terbaik Pimpinan UMNO "Membela" Islam



Kenyataan Pemimpin-Pemimpin UMNO Berkenaan Dengan Undang-Undang Hudud.

1. "Hukum rejam kepada penzina adalah primitif." - Tun Dr. Mahathir, 3 Mac 1994, dalam kenyatannya kepada wartawan di Nilam Puri, Kelantan Darul Naim.

2. "Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan." - Datuk Seri Najib Tun Razak, 20 April 1983, dalam temubualnya dengan para wartawan.

3. "Saya nak tahu siapakah di antara ahli-ahli Pas yang sanggup memotong tangan orang jika hudud dilaksanakan di Kelantan. Barangkali Nik Aziz akan melakukannya. Jika benar kita nak tengok apa yang berlaku selepas hukum itu nanti" - Tun Dr. Mahathir, 30 April 1992 dalam ucapannya di perjumpaan ketua-ketua UMNO Bahagian Johor.

4. "Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam" - Tun Dr. Mahathir, 14 Ogos 1994 dalam ucapannya di Pasir Mas Kelantan.

5. "Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apa pun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam. Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum-hukum yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan?" – Ucapan Tun Dr. Mahathir, 3 Mac 1994, dalam ucapannya di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan.

6. "Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasik." - Tun Dr. Mahathir, 3 Mac 1994, dalam ucapannya di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan.

7. “Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan.Ini sangat memalukan ummat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Julai 1992, dalam temubualnya dengan media massa.

8. "Pada pendapat saya, undang-undang Islam tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia sekarang. Lebih baiklah undang-undang yang ada dikekalkan." - Sulaiman Daud, 20 Ogos 1993, dalam temubualnya dengan media massa.

9. “Saya cabar Kelantan laksana hukum hudud di depan orang bukan Islam.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 3 Mac 1994, dalam ucapannya di Pusat Bahasa Nilam Puri, Kelantan.

10. “Al-Quran perlu ditafsirkan semula untuk disesuaikan dengan keadaan masa kini.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Ogos 1994, dalam ucapannya di Pasir Mas.

11. “Saya akan mempastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hukum hudud.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 1994, dalam temubualnya dengan media massa selepas sidang Majlis Tertinggi UMNO.

12. “Kerja yang paling sesuai bagi Tok Guru (ulama’) ialah mengajar, bukan mentadbir.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Ogos 1994, dalam ucapannya di Pasir Mas, Kelantan.

13. “Kita (Kerajaan Pusat) akan ambil tindakan jika Kelantan meneruskan usaha melaksanakan hudud.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Ogos 1994, dalam ucapannya di Pasir Mas, Kelantan.

14. “Bukan kerana dengan melaksanakan hukum hudud saja kita boleh menjadi Islam. Kita tengok banyak negara Islam yang tidak melaksanakan hukum hudud,tetapi tidak bermakna mereka tidak Islam.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 30 April 1992, dalam kenyataannya kepada wartawan.

15. “Perlaksanaaan hukum hudud boleh menyebabkan umat Islam menjadi mundur kerana tidak boleh bersaing dengan orang bukan Islam apabila orang Islam dipotong tangannya dan dilakukan hukum hudud yang lain, sedangkan orang bukan Islam tidak dikenakan.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 18 Ogos 1991, dalam temubualnya dengan wartawan.

16. “Jika mereka hendakkan sangat hukum hudud, mereka kenalah cuba hukum mereka sendiri atau mahkamah mereka sendiri. Mereka seronok nak potong tangan orang, seolah-olah jika tidak potong tangan, tidak Islam. Sekarang kita nak tengoklah mereka boleh buat atau tidak.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 24 April 1992, ketika bercakap kepada wartawan.

17. "Kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawab jika berlaku huru hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.rakyat harus menyoal perlaksaaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud, bahkan ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu.” - Datuk Seri Najib Tun Razak, 20 April 1992, ketika bercakap kepada wartawan.

18. “Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki? Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain, kalau sifatnya sudah tidak cukup? Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.” - Dr. Mahathir Mohamad, 2 Mei 1992, dalam ucapannya di Papar, Sabah.

19. “Sebarang undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia sekarang yang selaras dengan undang-undang Islam boleh dianggap sebagai undang-undang Islam.” - Datuk Dr. Yusuf Nor, 6 Mac 1994 dalam temubualnya dengan Radio Tiga Ibu Kota.

20. “Melaksanakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam sehingga menjadi masyarakat kucar-kacir dan ditindas oleh orang lain tidaklah secucuk dengan ajaran Islam.” - Dr. Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Ogos 1994, dalam ucapannya di Pasir Mas, Kelantan.

21. "Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam rakyat Islam yang mati dan kudung sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama" - Tun Dr. Mahathir Mohamad 2/5/92

Kenyataan Pemimpin-Pemimpin UMNO Berkenaan Dengan Hukum Menutup Aurat.

1. “Apakah kalau kita tidak tutup (aurat) kita tidak Islam? Banyak benda yang disuruh oleh agama Islam yang kita tidak buat, tetapi kita masih Islam” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, di majlis tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997.

2. "Tujuan menutup aurat ialah kerana di zaman Nabi, Arab Jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain. Akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat” - Tun Dr. Mahathir Mohamad: 5 September 1997 di Perhimpunan Agung UMNO, PWTC.

3. “Cara ini meninggalkan kesan buruk sampai ke bila-bila kepada pihak yang terlibat termasuk keluarga mereka. Orang-orang ini tidak faham apa yang dikehendaki oleh agama. Inilah masalahnya apabila kita memberi kuasa kepada orang-orang yang tidak tahu menggunakan kuasa” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, Utusan Malaysia, 19 Julai 1997)

Tun Dr. Mahathir ketika itu sedang bercuti di Okoyama, Jepun apabila tiga orang gadis Melayu dan beragama Islam iaitu Fahyu Hanim Ahmad,18 (Alor Setar), Noni Mohamad, 19 (George Town), dan Sharina Shaari 23, (Alor Setar), menyertai pertandingan Miss Malaysia Petite 1997 yang diadakan di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa Subang Jaya 13 Jun 1997 telah ditangkap oleh lima pegawai JAIS.

Lanjutan daripada gesaan Dr Mahathirlah maka Sahibus Samahah Dato’ Ishak Baharom ditamatkan perkhidmatan beliau sebagai Mufti Selangor hanya kerana bertegas agar pelaksanaan hukuman Hudud dilaksanakan dan juga kerana menyebabkan tiga orang ratu cantik Melayu-Islam didakwa di Mahkamah Syariah. Sedangkan mufti baru beberapa bulan disambung kontraknya.

Kenyataan-Kenyataan Tun Dr. Mahathir Dalam Kes Tersebut.

1. “Saya bukan lawan dengan semua mufti, tetapi mufti (Dato’ Ishak Baharom) yang semacam ini bukan mufti. Ulama’, macam-macam ulama’ ada. Takkan satu orang boleh mendakwa diri dia ulama dan kita mesti sembah dia inilah waris nabi, bukan main senang. Masuk persatuan ulama’ jadi waris nabi. Syed-syed pun tak pernah berkata macam itu, yang kata dia keturunan nabi, keturunan sahabat-sahabat nabi – pun dia tak kata macam itu. Ini mana-mana tempat membuat dakwaan bahawa ‘ulama’ adalah waris nabi’. Mudah nak jadi waris nabi. Tak payah sapa pilih.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, di majlis tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997.

2. Ajaran ulama’ inilah yang menyebabkan umat Islam menghabiskan hayat mereka semata-mata mebuat persedian untuk akhirat. Dan untuk ini, berbagai-bagai ibadat dicipta dan ditokok-tambah untuk memenuhi masa hidup mereka” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 8 Nov.1991 di Perhimpuan Agung UMNO, PWTC)

Mengizinkan Maksiat/Membela si Pemaksiat (Kes 'The Zouk', Ampang)

1. "Tiada sebarang peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memberi kuasa kepada penguatkuasa agama negeri untuk menangkap umat Islam yang berada di premis yang menghidangkan arak sekiranya mereka tidak meminumnya". - Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Jun 2001

2. “Apabila undang-undang ini dikuatkuasakan, saya percaya masalah seperti ini akan berkurangan dan dapat diketepikan. Walaupun undang-undang ini akan dikuatkuasakan, kita mesti terus berhati-hati juga tentang sistem penangkapan dan penguatkuasaan supaya persepsi orang ramai terhadap kuasa yang ada tidak bercanggah, konon sewenang-wenang dilakukan tangkapan dan sebagainya,” - Dato’ Rais Yatim, Jun 2001

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Abu Hassan Omar, Jun 2001: menyifatkan bahawa tindakan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam (JAIS) menangkap 31 orang mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 pada 10 Jun merupakan satu kekhilafan dalam mentafsir undang-undang.

Beliau mengkritik hebat tindakan JAIS berikutan langkah pegawai dan kakitangan jabatan tersebut melakukan serbuan dan tangkapan terhadap 25 orang Islam dalam sebuah pub “The Ship” di Damansara Utama, Selangor pada 11 Jun 2001 atas kesalahan orang Islam tidak dibenarkan membuat persembahan atau bekerja di dalam premis yang menjual minuman keras.

Friday, May 6, 2011

PAKATAN RAKYAT MENJUNJUNG PRINSIP PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

KENYATAAN AKHBAR
8 September 2008
PAKATAN RAKYAT MENJUNJUNG PRINSIP PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang pada hari ini 8 September 2008 dengan ini menegaskan penolakan kami terhadap usaha-usaha menyemarakkan politik perkauman yang sedang dilakukan oleh UMNO akhir-akhir ini. Kami amat bimbang isu ini sekarang digunakan untuk mengelabui pandangan rakyat yang sebenarnya merupakan usaha terdesak untuk menyelamatkan kepentingan segelintir golongan elit politik dan kroni mereka.
Kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.
Berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan ini kami menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit yang menjadi dasar UMNO-BN. Pendekatan inilah yang sengaja digunakan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.
Sehubungan ini kami membantah ucapan yang dibuat oleh Dato Ahmad Ismail yang disokong oleh semua pemimpin UMNO Pulau Pinang. Isi ucapan itu mencerminkan dasar perkauman UMNO yang sebenarnya bertujuan hanya untuk mempertahankan kepentingan segelintir golongan orang kaya Melayu serta suku sakat mereka yang menggunakan kuasa politik untuk mengambil kesempatan mengaut kekayaan negara dengan berselindung di sebalik membela kepentingan Bumiputera dan orang
Melayu.
Sekian, terima kasih.
Y.B. DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Y.B. LIM KIT SIANG
Ketua Ahli Parlimen
Democratic Action Party (DAP)
Y.B. DATO’ SERI HJ. ABDUL HADI AWANG
Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Berikut link format PDF:

Wednesday, February 23, 2011

"ISLAM HADHARI SESAT DAN MENYESATKAN"...Sheikh Dr Wahbah Az Zuhaili

http://www.topix.com/forum/world/malaysia/T6B5CLAK2V1RLKRH9


“Sah! Ia sesat lagi menyesatkan. Demikian tokoh ulama' tersohor masa kini menjawab ketika diajukan soalan oleh student Malaysia di Syria mengenai Islam Hadhari Malaysia . Dr Wahbah Az Zuhaili sangat dikagumi di seluruh dunia kerana keupayaannya menyusun ensiklopedia Fiqh berjudul Fiqh Islami Wa Adillatuhu yang membincangkan kesemua aspek Fiqh Islam dan menjadi rujukan kepada umat Islam seluruh dunia. 

Beliau juga dikagumi kerana keupayaannya menyusun Tafsir Al Munir yang menafsirkan Al Quran 30 juzuk dengan tafsiran lughawi, asbabunnuzul, syarah ayat dan fiqh serta pengajaran yang hebat.

Beliau telah beberapa kali berkunjung ke Malaysia dalam misi lawatan sama ada jemputan oleh kerajaan, mahupun pihak lain. 

"Islam Hadhari di Malaysia...'Hazaa Dhalal, Wa Yudhil'(ianya sesat dan menyesatkan)". Itulah ulasan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili dalam pertemuan dengan Group UM dan Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK) semalam di Jame Quaiti (Jame Othman) Damsyik.

Pertemuan itu diatur khas untuk beramah mesra dan berdiskusi dengan sheikh khususnya bagi membincangkan suasana umat Islam di Malaysia. Namun belum sempat soalan dikemukakan, Sheikh Wahbah terlebih dahulu mengulas tentang Islam Hadhari. Beliau berpesan kepada kami supaya memperlengkapkan diri dengan ilmu-ilmu agama. Ini sebagai persiapan diri untuk perjuangkan Islam dan berhadapan dengan banyak kesesatan di zaman sekarang.

Menurut Sheikh, di Malaysia ada Islam Hadhari. "Islam Hadhari ini sesat dan ia menyesatkan satu dunia. Ia merosakkan umat Islam." Terpaku penulis mendengar kata-kata tersebut.

"Islam Hadhari hanya disukai oleh Amerika sahaja, kerana ia bercanggah dengan Islam yang sebenar (hakiki)," jelas Sheikh Wahbah lagi.

Menurutnya, ketika menghadiri muktamar Alumni Al Azhar di Malaysia tempoh hari, Perdana Menteri asyik bercakap soal Islam Hadhari. Namun ketika itu, beliau tidak mendapat kesempatan yang sesuai untuk menjawabnya. Namun hari ini beliau dengan tegas menyatakan bahawa Islam Hadhari bukan daripada Islam yang sebenar.

“Hanya Amerika yang suka Islam Hadhari", jelas Sheikh Wahbah kepada penulis. 

Kenyataan beliau ini jelas membawa maksud, bahawa Perdana Menteri Abdullah Badawi berbohong apabila menyatakan Islam Hadhari diterima Ulama dunia seperti Sheikh Wahbah Zuhaili, Al Butti dan lain-lain. Malah perhimpunan Alumni Al Azhar yang dijadikan gelanggang untuk menunjukkan kerajaan BN lebih Islam dan disokong Ulama dunia hanyalah sandiwara.

Tidak sangka seorang Perdana Menteri bukan sahaja membohong rakyat jahil tentang Islam Hadhari yang dibawanya, malah sanggup berdusta di hadapan ilmuan-ilmuan Islam atau ulama-ulama dunia. 

Keduanya beliau juga menyelar kumpulan Quraniyun yang dikatakan wujud di Malaysia . Kumpulan ini kononnya hanya berpegang kepada Al Quran sahaja dan menolak Hadis. Menurut beliau sebagai orang Islam, kita wajib berpegang dengan kedua-duanya. Jelas di dalam Al Quran, Allah menyeru orang beriman supaya taat kepada Allah dan Rasul.

Monday, January 3, 2011

Mubahalah Dalam Islam

MUBAHALAH DALAM ISLAM 

PERTAMA : SUMPAH 

DEFINISI 

Sumpah [bahasa arab : aiman] bermakna, “mengukuhkan kata-kata yang tidak pasti kebenaran kandungannya dengan menyebut salah satu dari Nama-nama Allah, ataupun menyebut salah satu dari sifat-sifatnya dengan lafaz tertentu”. [Al-Fiqh Al-Manhaji : 3/575] 

HUKUM SUMPAH 

Hukum sumpah adalah makruh.  

Firman Allah; 
وَلَا تَجْعَلُوا اللَّهَ عُرْضَةً لِأَيْمَانِكُمْ أَنْ تَبَرُّوا وَتَتَّقُوا وَتُصْلِحُوا بَيْنَ النَّاسِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ 

Maksudnya;
      “(dan janganlah kamu jadikan nama) Allah Dalam sumpah kamu sebagai benteng Yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa mengetahui” 
[Al-Baqarah : 224] 

Larangan dalam ayat ini bermaksud larangan makruh, bukan haram. Ini kerana, dalam beberapa keadaan hukum sumpah boleh bertukar menjadi haram, wajib, sunat dan harus. 

Sumpah yang wajib adalah, apabila seseorang itu tidak dapat menyatakan kebenaran dan menyatakan sesuatu kebenaran kecuali dengan cara bersumpah, maka bersumpah menjadi wajib. 

Sumpah yang sunat adalah, apabila untuk memberi kesan kepada pendengar ketika memberi ketika memberi peringatan atau nasihat. Dan sumpah yang harus pula adalah, apabila untuk melakukan perkara ketaatan atau menjauhi maksiat, atau menunjuk jalan yang benar atau melarang dari melakukan kebatilan. 

Contohnya, Nabi Saw pernah berkata; 
فَوَاللَّهِ لَا يَمَلُّ اللَّهُ حَتَّى تَمَلُّوا وَكَانَ أَحَبَّ الدِّينِ إِلَيْهِ مَادَامَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ
 
Maksudnya;
      “Sesungguhnya Allah tidak pernah jemu, tetapi kamu yang boleh merasa jemu. Perkara yang paling disukai dalam agama adalah, perkara yang dilakukan secara sentiasa oleh pelakunya” 
[Al-Bukhari : 41] 

SUMPAH JADI HARAM 

Sumpah boleh jadi haram, sekiranya ia digunakan untuk dipermain-mainkan.  

Firman Allah; 
وَلَا تَجْعَلُوا اللَّهَ عُرْضَةً لِأَيْمَانِكُمْ أَنْ تَبَرُّوا وَتَتَّقُوا وَتُصْلِحُوا بَيْنَ النَّاسِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ 

Maksudnya;
      “(dan janganlah kamu jadikan nama) Allah Dalam sumpah kamu sebagai benteng Yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa mengetahui” 
[Al-Baqarah : 224] 

Sumpah juga boleh jadi haram, apabila bersumpah untuk melakukan perbuatan haram, ataupun untuk meninggalkan perkara yang wajib, atau berdusta mengenai sesuatu perkara yang tidak benar. 

Nabi SAW pernah bersabda; 
الْكَبَائِرُ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَالْيَمِينُ الْغَمُوسُ 

Maksudnya;
     
 “Dosa besar itu adalah, syirik kepada Allah, derhaka ibu bapa, membunuh dan sumpah yang dusta” 
[Al-Bukhari : 6182] 

ORANG MUNAFIQ SUKA BERSUMPAH 

Firman Allah; 
يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَكُمْ لِيُرْضُوكُمْ وَاللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَقُّ أَنْ يُرْضُوهُ إِنْ كَانُوا مُؤْمِنِينَ 

Maksudnya;
      “mereka bersumpah kepada kamu Dengan nama Allah untuk mendapat keredaan kamu, padahal Allah dan RasulNya jualah Yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya, jika betul mereka orang-orang Yang beriman” 
[At-taubah : 62] 

Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi, ayat ini diturunkan selepas dari berlaku peperangan tabuk. Ini kerana, dalam peperangan tersebut, orang munafiq tidak hadir. Apabila pulang dari tabuk, orang-orang munafiq datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan memberikan sebab. Bagi meyakinkan nabi, mereka bersumpah dihadapan Nabi SAW. Tindakan itu, menyebabkan Allah SWT menurunkan firman ini. 
[at-tafsir Al-Kabir : 8/82] 

KEDUA : MUBAHALAH 

Makna Mubahalah dari sudut bahasa adalah, “saling Laknat melaknati”. [Mukjam Al-Mustalahat wa Al-Alfaz Al-Fiqhiyyah : 3/204] 

Adapun makna Mubahalah dari sudut syarak adalah, “saling laknat melaknati, iaitu berdoa agar diterima laknat dari Allah terhadap orang yang dusta daripada dua pihak yang saling laknat melaknati” [Tahrir Alfaz At-Tanbih : 1/247] 

DALIL MUBAHALAH 

Firman Allah; 
فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ 

Maksudnya;
      “kemudian sesiapa Yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah Engkau beroleh pengetahuan Yang benar, maka Katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak Kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan Kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri Kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah Dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang Yang berdusta". 
[Surah Al-Imran : 61] 

Sebab turun ayat ini, berkaitan dengan perdebatan antara Nabi SAW dengan beberapa orang nasrani dari Najran. Mereka terdiri dari 13 orang, yang diketuai oleh seorang yang bernama Al-‘Aqib, atau dikenali juga sebagai Abdul Masih. 

Dalam perdebatan itu, semua hujjah-hujjah Nasrani itu dijawab oleh nabi SAW, tanpa mereka berjaya membalas lagi. Namun begitu, mereka tetap berkeras juga hendak berhujjah, walau mereka sudah mempunyai hujjah lagi.  

Mengenangkan sifat begitu, Allah SWT pun menurunkan ayat ini. 
[Ibnu Kathir : 2/50] 

SYARAT-SYARAT MUBAHALAH 

Melihat kepada asbab nuzul kepada ayat ini, ulama menetapkan syarat-syarat mubahalah adalah seperti berikut; 

Pertama, hendaklah dilakukan dalam keadaan Ikhlas kerana Allah. Ia tidak boleh dilakukan dengan tujuan hawa nafsu, sebaliknya hendaklah digunakan dengan tujuan mempertahankan kebenaran atau menzahirkan kebenaran. 

Kedua, hendaklah ia berlaku selepas dari pertikaian ilmu. Tanpa pertikaian terlebih dahulu, maka tidak seharusnya berlaku mubahalah. Dan mubahalah itu, hendaklah dalam perkara yang berlaku dalam perkara keilmuan. 

Firman Allah; 
وَمِنَ النَّاسِ مَن يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلا هُدًى وَلا كِتَابٍ مُّنِيرٍ 

Maksudnya;
      “dan ada di antara manusia Yang membantah Dalam perkara-perkara Yang berhubung Dengan Allah Dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah Yang menerangi kebenaran; 
[Al-Haj : 8] 

Ketiga, hendaklah orang yang mengajak mubahalah itu dari kalangan orang yang dikenali sebagai ahli kebaikan dan ketaqwaan. Ini kerana, dalam mubahalah, ia mengandungi doa bersedia mendapat laknat. Doa orang yang bukan dari ahli taqwa dan kebaikan, tidak dimakbulkan oleh Allah SWT. 

Firman Allah; 
وَإذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُم يَرْشُدُون 

Maksudnya
      “dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. 
[Al-Baqarah : 186] 

Keempat, ia hendaklah dilakukan selepas kedua-dua belah pihak telah mendatangkan hujjah masing-masing. Hujjah itu pula, hendaklah hujjah yang nyata dan jelas. Sekiranya mereka tetap berkeras atas pendapatnya yang kekal atas kesesatan, tanpa bersedia menerima kebenaran, maka baru boleh mengajak kepada mubahalah. 

Ibnu Qayyim menyatakan; 
إن السنة في مجادلة أهل الباطل إذا قامت عليهم حجة الله ، و لم يرجعوا ، بل أصروا على العناد ، أن يدعوهم إلى المباهلة ، و قد أمر الله سبحانه ، بذلك رسوله صلى الله عليه و سلم ، و لم يقُل : إن ذلك ليس لأمتك من بعدك . و دعا إليها ابنُ عمه عبد الله بن عباس ، من أنكر عليه بعض مسائل الفروع ، و لم يُنكر عليه الصحابة ، و دعا إليه الأوزاعي سفيان الثوري في مسألة رفع اليدين ، و لم يُنكَر عليه ذلك ، و هذا من تمام الحجة  

Maksudnya;
     
 “Sesungguhnya sunnah dalam berdebat golongan sesat, apabila didatangkan hujjah Allah [hujjah yang benar], mereka tetap tidak mahu kembali [kepada kebenaran], malahan tetap dengan kedegilan, bahawa mengajak mereka kepada mubahalah. Allah SWT menyuruh Rasulullah SAW melakukan demikian [Mubahalah]. Tidak betul jika ada yang berkata bahawa ia tidak dikenakan kepada umat kamu [wahai muhammad] selepas dari kamu. Ini kerana, sepupu Nabi SAW yang bernama Abdullah bin Abbas pernah mengajak mubahalah terhadap mereka yang mengingkari beberapa masalah-masalah furu’ [Fiqh] tanpa diingkari oleh seorangs sahabat pun. Juga, Awzaie pernah mengajak Sufyan As-Sauri bermubahalah dalam masalah angkat dua tangan [angkat takbir dalam solat], tanpa diingkari oleh seorang pun. Ia digunakan untuk mencapai kesempurnaan hujjah” 
[Zad Al-Ma’ad : 3/643] 

Kelima, hendaklah mubahalah ini berlaku dalam perkara agama yang terlalu penting. Ia digunakan untuk menghasilkan kemaslahatan kepada Islam dan orang islam, atau menolak kemafsadan terhadap Islam dan orang islam.  

Imam Ibnu Qayyim menyatakan; 
و أما حكم المباهلة فقد كتب بعض العلماء رسالة في شروطها المستنبطة من الكتاب و السنة و الآثار و كلام الأئمة ، و حاصل كلامه فيها أنها لا تجوز إلا في أمر مهم شرعاً وقَع فيه اشتباه و عناد لا يتيسر دفعه إلا بالمباهلة ، فيُشتَرط كونها بعد إقامة الحجة و السعي في إزالة الشبه و تقديم النصح و الإنذار  
Maksudnya;
     
 “adapun hukum mubahalah, ia telah ditulis oleh sebilangan ulama’ tentang syarat-staratnya yang teristinbat [dikeluarkan hukum] dari Al-Quran dan As-Sunnah, amalan sahabat dan perkataan para imam. Kesimpulan dari perkataannya adalah, tidak harus mubahalah kecuali dalam perkara yang terlalu penting dalam syarak, iaitu sekiranya tanpa mubahalah, ia mampu melahirkan kecelaruan dalam pemahaman agama. Ia disyaratkan bahawa selepas ditegakkan hujjah, melakukan usaha yang kuat dalam menghilangkan kesamaran, dan didahului dengan nasihat dan pesanan” 
[Syarh Qasidah : 1/37] 

TIDAK DIGALAKKAN MUBAHALAH 

Dalam mengomentari tentang Mubahalah, Dr Yusuf Al-Qaradhawi ada berkata; 
وقال القرضاوي خلال حوار مع شبكة "أون إسلام": "أنا لست مع الدعوة للمباهلة،  فالمباهلة تكون مع أناس عقلاء متدينين، يخافون عقاب الله، ويحذرون نقمته، كما كانت المباهلة بين النبي وبين نصارى نجران، وهم قوم متمسكون  بعقيدتهم، وأهل حِجاج، ونقاش، وفيها  نزل قوله تعالى: "فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ  مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ" (آل عمران: 61).
 
Maksudnya;
     
 “Aku tidak mengajak kepada mubahalah. Ini kerana, mubahalah ini berlaku pada orang yang cerdik; yang beragama. Mereka takut akan azab Allah disamping mereka mengelak dari mendapat kecelakaan dari Allah. Ia sama seperti yang berlaku kepada Nabi SAW dengan orang-orang nasrani Najran, dalam keadaan mereka adalah kaum yang terlalu berpegang teguh dengan aqidah [kepercayaan] mereka, dan mereka adalah ahli Hujjah. Lantaran, Allah SWT menurunkan firman-Nya dari surah Al-Imran ayat 611 

Melihat kepada perkataan Dr Yusuf Al-Qaradhawi ini, nyata bahawa mubahalah bukanlah perkara yang baik dan mudah dilakukan begitu sahaja, sebaliknya ia berlaku dalam perkara-perkara penting dalam agama sahaja. 

KETIGA : KERAGUAN 

Satu; 

Mubahalah tidak berlaku dalam perkara jenayah. Ini kerana, perkara jenayah adalah melibatkan perkara yang berkait dengan mahkamah, sedangkan mubahalah tidak berlaku dalam mahkamah. 

Dalam firman Allah tentang mubahalah [Al-Imran : 61], didapati mubahalah itu berlaku dalam perkara yang melibatkan pertembungan antara agama islam dengan agama kristian. Pertembungan antara agama, tidak pernah berlaku perdebatannya dalam mahkamah. 

Dua; 

Sumpah berlaku untuk mempertahankan diri, bukan untuk melakukan tuduhan kepada orang lain.  
Nabi SAW ada bersabda; 
الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ 

Maksudnya;
      “datangkan bukti bagi orang yang menuduh, dan sumpah bagi orang yang dituduh” 
[At-tarmizi : 1261] 

Jika bersumpah tidak dibenarkan dalam melakukan tuduhan, maka terlebih tidak boleh bersumpah untuk mengheret orang yang tertuduh. 

Tiga; 

Sumpah bagi orang yang dituduh seperti hadis di atas, adalah dengan perintah mahkamah. Sumpah yang berlaku diluar mahkamah, tidak termasuk dalam kandungan hadis yang disebutkan di atas.  
Empat; 

Bersumpah dalam masjid, hanya berlaku dalam bab Li’an. Dalam fiqh, Li’an bermaksud, “perkataan tertentu yang digunakan sebagai hujjah oleh orang yang terpaksa menuduh orang yang mencemarkan tempat tidurnya dan memberi malu kepadanya sebagai berzina”. 

Dengan perkataan lain, Li’an bermaksud seseorang suami yang nampak isterinya berzina dengan lelaki lain, tetapi tidak dapat mendatangkan seramai empat orang saksi, maka hendaklah dia berkata, “Aku bersaksi demi Allah, aku berada di pihak yang benar terhadap dakwaanku bahawa isteriku [sebut nama dan bintinya] telah berzina” 

Perkataan ini hendaklah diucapkan sebanyak empat kali. Dan pada kali kelima, dia hendaklah berkata, “Aku dilaknati Allah sekiranya aku berbohong”. [Al-Fiqh Al-Manhaji : 4/903] 
Ia berdalilkan kepada Firman Allah; 
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنْفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ * وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَيْهِ

 إِنْ كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ 

Maksudnya;
     
 “dan orang-orang Yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada Syarak) bagi seseorang Yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah Dengan nama Allah, empat kali, Bahawa Sesungguhnya ia dari orang-orang Yang benar * dan sumpah Yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang Yang dusta” 
[An-Nur : 6-7] 
Sekian 

Wallahu ‘Alam 
Al-Bakistani